Thursday, August 11, 2011

SATU HARI DI BULAN RAMADHAN


“Sumayyah…awak tak pose ye hari ni?”
“Pose la teacher…”dengan serius dia bagi jawapan.
“Abes tu kenapa teacher nampak awak makan tadi?” dengan serius jugak saya bertanya kepadanya.
“Pose setengah hari la cikgu…tak tahan, dahaga….” dia tersengih sambil menampakkan giginya yang comel tersusun.
“Budak-budak zaman sekarang…ape nak jadi” bicara saya dalam hati. “Orang tak pose ni tak soleh tau. Sumayyah tak soleh lah kalau macamtu….” saya tekankan suara saya sedikit agar dia terkesan.
“Ayah ngan ibu tak bagi pose…”
Pandai pula dia bagi alasan tak pose…Ni sah la tak tahan tengok kawan-kawan yang lain bukak pose.   
“Tengok Aishah Nabihah…hari ni dia pose…semalam pun dia pose” saya cuba tengok reaksinya. Anak-anak kecil sepertinya kena bagi galakan sikit supaya dia dapat rangsangan yang membina lebih-lebih lagi kena baginya contoh terdekat. Kalau kawan yang sebaya umur dengannya boleh buat takkan dia tak boleh kan.
“Teacher, teacher…kalau tak pose tak boleh raya kan teacher?” Aisyah terus meluru mendapatkan saya dan Sumayyah bila dapat tahu namanya disebut…
“Aah…kalau tak pose, tak dapat raya…kalau tak raya tak dapatlah duit raya….” Senyum lebar saya bila dapat kenakan Sumayyah….
“Esoklah saya pose cikgu…” mukanya agak sedih bila saya katakana padanya tak dapat raya…
Teacher: “………” saya tersenyum sekali lagi. Senyum tanda bahagia melihat ragam mereka.

CABARAN BUAT MEREKA
Alhamdulillah…saya berpeluang merasai suasana kanak-kanak tadika menempuh bulan puasa dengan seribu satu pengalaman berharga. Usia mereka baru sekitar 4, 5 dan 6 tahun.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang beriman, selamatkanlah dirimu dan keluargamu daripada neraka, sedangkan bahan bakarnya ialah manusia dan batu. Neraka itu dijaga oleh malaikat yang kasar dan keras. Mereka sama sekali tidak pernah durhaka pada Allah dan melaksanakan apa saja yang diperintahkan pada mereka.” – Surah Al-Tahrim (66), ayat 6.
Hukum berpuasa bagi kanak-kanak yang belum mumayyiz (iaitu tidak tahu membezakan di antara yang baik dan buruk) ialah tidak sah puasanya. Manakala kanak-kanak yang sudah mumayyiz dikira sah puasa mereka apabila ia berniat puasa pada malam hari, walaupun puasa Ramadan itu tidak diwajibkan ke atasnya.
Ulama sepakat mengatakan bahawa hukum berpuasa pada Ramadan adalah wajib bagi setiap orang Islam yang berakal dan baligh. Dengan demikian, kanak-kanak pada asalnya tidak wajib berpuasa kerana mereka belum baligh. (Abd Rahman al-Jaziri, al-Fiqh ‘ala Mazhib al-arba’ah)

Ini berdasarkan sebuah hadis Nabi SAW bermaksud: “Diangkat pena itu kerana tiga perkara: Seorang kanak-kanak kecil sehingga dia dewasa, orang yang sedang tidur sehingga terjaga dan orang gila sehingga dia normal kembali.” (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)

Maksudnya mereka (anak-anak kecil ini) tidaklah berdosa jika meninggalkan ibadat puasa Ramadhan yang termasuk dalam rukun Islam ke-4 ini. Namun, ia tidaklah menjadi halangan bagi ibu bapa untuk melatih mereka bermula dari awal lagi sebagaimana perintah menunaikan solat. Malah sunat melatih kanak-kanak berpuasa. Boleh rujuk sini: http://epondok.wordpress.com/2011/08/02/sunat-latih-kanak-kanak-puasa/
Hadis yang bermaksud: “Suruhlah anak-anakmu mengerjakan sembahyang ketika umur mereka tujuh tahun dan pukullah mereka jika mereka enggan melakukannya ketika umur mereka sepuluh tahun.” (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud).
Sekiranya arahan Nabi SAW untuk melihat kanak-kanak terbiasa dengan amalan solat sebelum ia diwajibkan ke atas mereka, maka begitu juga dengan amalan puasa. Malah Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni jilid 3 mengatakan bahawa: “Kanak-kanak dikehendaki berpuasa apabila mencapai umur tujuh tahun jika dia secara fizikal mampu melakukannya. Sesetengah ulama berpendapat, dia hendaklah didenda secara fizikal jika tidak berpuasa ketika umurnya 10 tahun. Ia sama seperti tindakan yang diambil jika tidak bersolat.”
Sesetengah ibu bapa yang sibuk bekerja memang tiada masa untuk mengikuti perkembangan anak-anak mereka. Pergi bekerja pukul 8 pagi balik rumah pukul 6 petang. Penat bekerja di pejabat tak hilang terpaksa melayan kerenah anak-anak yang pelbagai. Anak-anak pula jenis yang tak reti nak duduk diam. Dalam situasi sebegini mungkin selalu terjadi ibu bapa yang terlepas pandang beberapa perkara tertentu. Contohnya seperti galakan anak-anak berpuasa.
Peranan ibu bapa sangat-sangatlah penting dalam hal ini. Ada anak murid saya yang tahan tak bukak puasa semata-mata ibunya pesan padanya supaya puasa (mungkin ada hadiah yang akan diberi jika dia berjaya puasa hari itu). Kawan-kawannya sibuk bermain bola di laman, dia terbaring dalam rumah bagi menahan dahaga.
Cabaran ibubapa mendidik anak kalau nak dibandingkan dengan zaman dahulu seperti kata kebanyakan orang sangat mencabar terutama cabaran minda...minda mreka lebih kreatif...kadang-kadang mreka lebih suka dengan dunia kaku dan beku (tv, internet, psp dan sebagainya). Dengan masa yg limited, ibubapa perlu pastikan didikan yg diterima anak mencukupi.
Hubungan kekeluargaan bertambah mulia jika dihiasi dengan keimanan. Aktiviti solat berjemaah, makan semeja, keluar bersantai bersama dapat merapatkan hati-hati yang sentiasa perlukan kasih sayang. ‘Akhlak bermula dari rumah’ menjadi satu kebenaran jika ibu bapa dapat memainkan peranannya yang baik dalam mendidik anak.

No comments:

Post a Comment