Sunday, July 7, 2013

Ihfazillah Yahfazka (Jagalah Allah, Allah Menjagamu)


Pernah atau tidak anda merasai perasaan seperti ini...
- Sambil-sambil buat kerja tiba-tiba hati serba tak kena, baru kita teringat yang hari itu kita langsung tak sentuh Quran, mathurat pun tak sempat sebab terkejar-kejar nak siapkan progress report yang due date nya tak lama lagi.
- Sedang menonton cerita best di kaca tv tiba-tiba blackout, kita tak solat Isya' lagi pada masa tu padahal waktu isya' dah lama masuk.
-Laptop buat hal lagi, rosak teruk kali ni. Diri kita mengeluh sebab tak dapat nak online fb, usha tweeter, tengok citer kat TONTON. Sebenarnya Allah nak beri kita peringatan yang selama ini ini kita duk berjam-jam depan laptop, kita sibuk fikirkan hal dunia. Betapa sedikitnya masa yang kita luangkan untuk Allah dan menambah amalan buat bekalan di hari akhirat.
- Dalam seminggu, kita buat solat sunat Dhuha dan kita merasakan pekerjaan yang kita buat pada minggu tersebut dipermudahkan. Hati kita rasa lapang dan tenang.

Kita melihat orang lain bahagia, kita pun akan turut merasai bahagianya jika kita penuhi hak-hak sesama manusia.

Ihfazillah, Yahfazka (Jagalah Allah, Allah Menjagamu)


Suatu Kisah

Si ibu mengajak anak solat dahulu di situ, tapi si anak menolak kerana mengatakan rumah sudah hampir dari situ. Si ibu selalu mengajarkan si anak untuk sebut “Ihfazillah yahfazka” yang bermaksud, jagalah Allah, Allah menjagamu. Si ibu mengingatkan:

“Sayang, jagalah Allah, Allah menjagamu. Ini hak Allah, solat awal waktu diutamakan. Kita tak tahu apa akan jadi selepas ni kan?.” Si ibu tersenyum menasihati.

Si anak tidak puas hati, dengan muka keletihan, masam mencuka, diambil telekungnya keluar dari perut kereta, memandang kiri dan kanan jalan, terus melintas, berlari menuju ke surau di hentian itu. Dia cuba memprotes.

Si ibu berdoa, moga anaknya memahami satu hari nanti. Hak Allah perlu diutamakan lebih dari yang lain. Utamakan Allah dalam tiap apa jua tindakan. Itu yang ingin diserap dalam fikiran si anak.

Usai sahaja solat berjemaah, si ibu melihat anaknya bergegas keluar selepas bersalam dengannya. Mungkin masih marah, fikir si ibu. Walaupun dalam keadaan marah, si anak tetap solat dan salam si ibu selepas berdoa, cuma tidak bercakap, tanda tidak puas hati.

“Pinnnnnnnnnnnnn” kedengaran hon yang kuat. Seperti ada kemalangan akan berlaku. Si ibu tidak fikir lain lagi, hanya si anak dalam fikirannya. Langkahnya laju keluar dari surau selepas di pakainya tudung dan diambilnya telekung secepat yang boleh tanpa sempat melipat lagi. Si ibu resah. Dalam hati tidak putus-putus berdoa minta Allah selamatkan anaknya.

“Miraaaaaa, Miraaaa..mana kamu sayang??” si Ibu menjerit mencari anaknya. Bergenang air mata ibu.

Si ibu melihat tiada kemalangan di situ, tapi anaknya tidak djumpai. Si ibu melintas jalan, menuju ke kereta, rupanya si anak berada di sebelah kereta, duduk, ketakutan. Bila si ibu hampir, si anak terus mendakap ibunya.

“Ibu, maafkan Mira ibu. Maafkan Mira sebab kurang ajar dengan ibu. Ibu, tadi masa Mira nak melintas jalan, Mira dah tengok kanan kiri, tak de kenderaan, tapi tiba-tiba laju lori datang, Mira tak tahu dari mana lori tu. Mira yakin Mira tak boleh nak lari selaju tadi, ada sesuatu yang bantu Mira untuk melintas dengan cepat, kerana tu Mira selamat. Ibu, Mira teringat pesan ibu ‘Ihfazillah Yahfazka’. Ya Allah ibu, Mira dapat rasakan Allah bantu Mira, mungkin kerana Mira dah tunaikan hak Allah tadi. Ya Allah, Mira tak tahu jika Mira mati tadi sebelum tunaikan hak Allah tu. Ibu, terima kasih, maafkan Mira ibu. Mira sayang ibu.” Teresak-esak Mira menceritakan kejadian sebenar.

Tanpa disedari ramai rupanya yang berada di situ mendengar sama kisah si anak tadi. Ada yang menangis sama, ada yang merah matanya menahan sebak, mereka semua mula beredar menuju ke surau dan masjid berdekatan untuk menunaikan hak-hak Allah yang belum ditunaikan. Masing-masing termuhasabah.

- sumber -
http://wardatulshawqah.blogspot.com/

 Catatan Suri


- Mereka yang mencintai Allah, pasti akan dicintai-Nya. Rasulullah S.A.W. pernah bersabda, maksudnya: "Seseorang akan menjadi hamba kepada apa-apa yang dicintainya." (Riwayat al-Bukhari)

Sumber kekuatan kita sebenarnya adalah kepunyaan-Nya. Manusia yang cintakan Allah akan memiliki kekuatan dan ketenangan untuk menghadapi kehidupan. Hidup mereka tidak akan diganggu gugat oleh rasa takut, lemah atau dukacita.

Firman Allah, maksudnya: "Orang yang beriman sangat cinta kepada Allah. Kalaulah orang yang melakukan kezaliman mengetahui ketika mereka melihat seksaan (pada hari kiamat) bahawa kekuatan itu semua kepunyaan Allah dan amat berat seksaan-Nya (nescaya mereka menyesal)." (Surah al-Baqarah 2:165)

Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang mempunyai tiga perkara padanya, dia telah mendapatkan kemanisan iman, iaitu Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai daripada selain kedua-duanya, serta mencintai dan membenci seseorang semata-mata kerana Allah. Dia hendaklah benci untuk kembali kepada kekafiran sebagaimana dia membenci jika dicampakkan ke dalam neraka." (Riwayat al- Bukahri dan Muslim).




Wallahualam.



Syam_Suri


1 comment: