Tuesday, November 5, 2013

Iman & Taqwa: Apa bezanya?

Bulan Oktober sudah pun berlalu...sementara bulan November sedang beransur-ansur berjalan meninggalkan kita sehinggakan kita sendiri tidak menyedarinya. Beruntunglah bagi mereka yang sedar bahawa masa ibarat sebuah kehidupan yang mana setiap saat yang ada itu sangat berharga untuk berbuat amalan-amalan soleh yang bakal menjadi timbangan pada hari pembalasan kelak.

Buat mereka yang tidak sedar atau sengaja berbuat tidak sedar: ingatlah bahawa peluang masih ada untuk kita memperbaiki ibadat dan amalan-amalan baik yang telah disyariatkan. Perlunya kita sedar bahawa masa yang ada ini sangatlah limited, terhad dan pendek sebabnya bila-bila masa sahaja Allah boleh tarik balik nikmat nyawa yang ada sekarang. Nauzubillahi min zalik ("Kami berlindung dengan Allah daripada perkara (perkara buruk) tersebut (daripada menimpa kami).”

Iman dan Taqwa. Apa bezanya?


Alhamdulillah, kita semua sangat-sangat beruntung. Di awal kelahiran kita semua diazankan dan diiqamatkan menandakan nur Islam itu sudah masuk ke dalam pendengaran dan hati kita. Keislaman kita adalah melalui keturunan. Senang-senang sahaja title sebagai orang Islam itu boleh kita pegang.

Secara umumnya kita digelar seorang muslim bila kita bersyahadah. Namun bila kita digelar muslim, belum tentu lagi kita mendapat iman dan taqwa dengan sekadar kita bersyahadah. Iman dan taqwa adalah dua perkara yang sangat berbeza. Iman dan taqwa sangat mahal. Tidak mudah untuk mendapat iman lebih-lebih lagi taqwa.

Analogi Islam, Iman dan Taqwa itu seperti ini:

Katakanlah Islam itu ibarat sebuah taman yang indah, yang di dalam taman itu adalah pokok buah-buahan, bunga-bungaan dan sayur-sayuran.

Orang yang masuk Islam itu sebenarnya baru masuk dan berada di pintu taman itu. Dia baru ambil tiket untuk membolehkan dia menjelajah taman. Syahadah itu ibarat tiket semata-mata. Dia masih belum tahu apa lagi yang ada di dalam taman itu. Sedangkan dalam taman itu ada bermacam-macam keindahan. Ada keindahan rasa, keindahan akal, keindahan pandangan dan pendengaran dan lain-lain.

Orang mukmin itu, dia sudah menjelajah taman. Sudah round taman. Dia sudah melihat keindahan taman.
Orang bertaqwa pula, dia sudah makan dan merasa semua buah-buahan dan sayur-sayuran dalam taman itu. Maka orang bertaqwalah yang paling tinggi.

Contoh lain, macamlah orang yang hendak masuk ke universiti. Dia baru baftar nama, belum belajar dan belum pusing-pusing kawasan universiti lagi. Baru diterima masuk, dia baru ada nama sebagai pelajar universiti. Itulah Islam. Dia belum boleh dikatakan seorang intelek atau seorang graduan. Intelek dan graduan itu ibarat mukmin dan taqwa. Cuma selesai pendaftaran, automatik dia menjadi student. Dia belum dapat ilmu. Jelajah kawasan universiti pun belum.

Atau kalau hendak dicontohkan lagi, Islam adalah ibarat kulit buah iaitu benda luar, benda lahir atau benda yang nampak. Iman adalah isinya manakala rasa isi itu adalah taqwa. Soal isi dan rasa, itu soal batin atau soal rohaniah. Kulit buah itu ibarat Islam, seperti syahadah, sembahyang, puasa, zakat dan haji. Mungkin tambah lagi dengan sedekah, belajar dan lain-lain. Itu kulit. Itu Islam.

 Beriman atau bertaqwa?


Disebutkan dalam al-Qur'an, bahawa Tuhan menyeru orang yang beriman agar mencapai darjat ketaqwaan. Ini kerana, orang yang beriman, belum tentu dapat mencapai darjat ketaqwaan. Tapi, orang yang bertaqwa, sudah pastilah mereka beriman.

"Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benarnya, dan janganlah kamu mati melainkan berada dalam Islam. (Ali Imran: 102)

Juga kepada orang yang beriman itu, Allah s.w.t meminta mereka bertaqwa dengan cara menyatakan perkara yang benar walaupun pahit didengar. Ini kerana, orang yang beriman pun belum tentu dapat menyatakan perkara yang benar.

"Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, maka Allah memperbaiki bagi amalan-amalanmu, dan mengampuni bagimu dosa-dosamu.." (Al-Ahzab: 70 - 71)

Maka, hendaklah orang-orang yang beriman itu berjuang mendapatkan tempat di martabat ketaqwaan. Ini kerana, hanya yang mampu menyatakan kebenaran itulah yang layak digelar mencapai darjat ketaqwaan.

Orang-orang yang beriman turut diseru mencapai darjat ketaqwaan dengan menyediakan amalan sebagai bekalan untuk hari akhirat mereka. Ini kerana, ramai orang beriman, tetapi seperti tidak mengendahkan amalan mereka untuk akhirat.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dan yang salah, dan menghapuskan segala kesalahan kamu serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar." (Al-Anfal: 29)

Kita biasa berdepan dengan kebuntuan hidup dalam kehidupan. Hidup serba tak tenang. Seolah-olahnya mereka gagal mengenal mana satu berlian dan permata, yang mana intan dan yang mana kaca. Mana yang betul dan salah.

Dan, kita seperti tidak berupaya mencari penyelesaiannya. Kenapa jadi begitu, walhal kita telah mengaku beriman kepada Tuhan? Mustahil Tuhan akan meninggalkan orang-orang yang beriman itu teraba-raba dalam mencari jawapan terhadap setiap permasalahannya itu.

Maka, jawapannya ialah - orang yang beriman yang ditimpa permasalahan tadi, masih tidak mencapai darjat ketaqwaan. Dan jika orang yang beriman itu bertaqwa, maka nescaya Tuhan menunaikan janjinya dengan cara memberikannya petunjuk.

Allah s.w.t mengingatkan kita dalam firmanNya, "Hai orang-orang yang beriman! Jauhi banyak berprasangka. Sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu dosa. Dan jangan kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah antara kamu suka memakan bangkai saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang." (Al Hujuraat: 12)

Perbezaan lain antara orang yang beriman dan bertaqwa itu ialah insan yang beriman itu masih lagi tidak membebas diri daripada sikap prasangka, mengumpat dan mencela saudara mereka, mencari-cari keaiban orang lain untuk dihebah.

Maka, orang yang beriman dan telah sempurna jiwanya kerana kerohaniannya melompat ke darjat ketaqwaan itu, akan bersih lidahnya daripada mengumpat dan telinganya dibersihkan daripada mendengar keaiban orang lain.

Ada banyak lagi perbezaan sikap antara orang yang beriman dan bertaqwa ini. Dan, seperti yang termaklum, amalan puasa itulah antara salah satu daripada amalan yang mampu meletakkan kerohanian seseorang ke darjat ketaqwaan jika diamalkan dengan penuh keikhlasan dan kewaspadaan.

Orang yang berpuasa, digalakkan untuk tidak mencampuri urusan mendengar keaiban orang lain, selalu menyibukkan dirinya dengan zikrullah dan wirid.

Jika semua ini tercapai, maka lahirlah sikap suka menegakkan kebenaran, menyatakan yang benar di depan pihak berkuasa, kerap muhasabah tentang bekalan akhirat dan lain-lain ciri ketaqwaan yang lain.

Puasa telah menyebabkan anggota kita letih untuk melakukan maksiat dan amalan kerohanian itulah yang akan menguatkan kembali jiwa dan raga kita untuk meneruskan kehidupan.

Amalan berwirid dan berzikir di bulan Ramadhan akan menyebabkan kita kembali kepada fitrah yang suci dan asal, jika dilakukan dengan sempurna dan ikhlas menuju rahmat Allah

Mudah-mudahan kita memperolehi TAQWA di hujung madrasah Ramadhan nanti!Kun Rabbaniyyun wala takun Ramadhaniyyin..

Al-Qur’an menjelaskan

Ciri-ciri orang beriman :

1. Jika di sebut nama Allah, maka hatinya bergetar dan berusaha agar ilmu Allah tidak lepas dari saraf memorinya, serta jika di bacakan ayat suci Al-Qur’an, maka bergejolak hatinya untuk segera melaksanakannya (Al-Anfal:2).
2. Sentiasa bertawakal, iaitu kerja keras berdasarkan kerangka ilmu Allah, diiringi dengan doa, iaitu harapan untuk tetap hidup dengan ajaran Allah menurut sunnah Rasul (Ali Imran: 120, al-Maidah: 12, al-Anfal: 2, at- Taubah: 52, Ibrahim: 11, Mujadalah: 10, dan at-Thaghabun: 13).
3. Tertib dalam melaksanakan solat dan selalu menjaga perlaksanaannya (al- Anfal: 3, dan al-Mu’minun: 2,7).
4. Menafkahkan rezeki yang diterimanya (al-Anfal: 3 dan al-Mu’minun: 4).
5. Menghindari perkataan yang tidak bermanfaat dan menjaga kehormatan (al- Mu’minun: 3,5)
‏ 6. Memelihara amanah dan menepati janji (al-Mu’minun: 6)
‏ 7. Berjihad di jalan Allah dan suka menolong (al-Anfal: 74)
‏ 8. Tidak meninggalkan pertemuan sebelum meminta izin (an-Nur: 62)

Ciri-ciri orang bertakwa :

1. Beriman kepada ALLAH dan yang ghaib (QS. 2:2-3)
2. Sholat, zakat, puasa (QS. 2:3, 177 dan 183)
3. Infak disaat lapang dan sempit (QS. 3:133-134)
4. Menahan amarah dan memaafkan orang lain (QS. 3: 134)
5. Takut pada ALLAH (QS. 5:28)
6. Menepati janji (QS. 9:4)
7. Berlaku lurus pada musuh ketika mereka pun melakkukan hal yang sama (QS. 9:7)
8. Bersabar dan menjadi pendukung kebenaran (QS. 3:146)
9. Tidak meminta ijin untuk tidak ikut berjihad (QS. 9:44)
 10. Berdakwah agar terbebas dari dosa ahli maksiat (QS. 6:69)

Penutup

Iman perlu dicari. Taqwa perlu diraih. Tidak cukup jadi orang Islam sahaja tetapi mesti menjadi orang mukmin (bertaqwa).Orang mukmin dijamin masuk Syurga sedangkan orang Islam tidak dijamin sedemikian. Ibadah banyak menggambarkan kulit atau syariat Islam. Ibadah tidak semestinya menggambarkan iman dan taqwa.

Ertinya untuk dapat iman adalah susah. Untuk menjadi Islam, itu mudah. Syahadah sahaja, sudah Islam. Di sinilah kita lihat mengapa umat Islam masih jahat walaupun ibadah banyak. Ibadah banyak menggambarkan kulit atau syariat Islam. Ibadah tidak semestinya menggambarkan iman dan taqwa.

Katalah seseorang itu sembahyangnya banyak, puasa sunatnya banyak, rajin mengaji dan berjuang tetapi dalam masa yang sama dia berbohong, rasuah, hasad dengki, tidak ada kasih sayang dan tidak pedulikan orang. Islamnya hebat. Syariatnya pun hebat. Tetapi cacatnya terlalu banyak. Itu petanda hatinya belum benar-benar beriman dan bertaqwa.

Ada satu cerita di zaman Rasulullah SAW. Seorang Arab Badwi masuk Islam. Apabila bertemu dengan Rasulullah, dia berkata kepada baginda,
"Wahai Rasulullah, saya sudah beriman.”
Terus Rasulullah menegur, "Jangan katakan kamu sudah beriman. Katakanlah sahaja kamu sudah Islam.”

 Wallahualam.

Indeed. True. :)

2 comments:

  1. Terima kasih atas info. Mohon share picture.

    ReplyDelete
  2. شكرا جزيلا جزاكالله خيرا

    ReplyDelete