Friday, April 13, 2012

Ujian Itu TARBIYYAH Diri



Malam masih panjang. 

Saya berfikir. Lama saya merenung skrin laptop. Sambil itu jari-jemari saya ligat menari-nari atas papan kekunci. Mencari idea untuk menulis malam ni. Kosong. Saya ingin menulis!

Kemudian cerita itu datang lagi. Lama saya ingin bercerita berkenaan kisah itu di sini. Semestinya untuk muhasabah saya kembali. Sekali lagi fikiran saya diperah untuk mengimbau kembali kisah itu. Ianya berkaitan satu peristiwa yang selalu buat saya muhasabah diri sebagai hamba Allah yang selalu terlupa, lalai dan rasa ‘hebat’ padahal diri ini sememangnya banyak kelemahan dan kekurangan yang perlu diperbaiki hari demi hari.


Kadang-kadang kita terlalu memikirkan pandangan manusia berbanding pandangan Allah. Kadang-kadang juga disebabkan kelemahan yang kita ada kita terlalu memikirkan bahawa mereka lebih mengetahui berbanding diri kita. Terlalu sangat berfikir sehingga kita sendiri rasa seolah-olah malas untuk berfikir.

Ah, biarlah orang nak kata apa pun…”
“Jangan dengar cakap dia tu…bukannya betul pun”
“Baik aku buat hal sendiri lagi bagus”

Kita rasa syok berada dalam dunia kita sendiri. Dunia tanpa pengawasan. Kita boleh buat apa sahaja yang kita suka, layan internet sepuasnya, tengok movie berjam-jam lamanya, tidur semahunya.

Dunia kian membarah dengan penyakit-penyakit manusia yang seakan tiada penawarnya. Adanya kerajaan tetapi seolah-olah menjadikan penyakit itu bertambah teruk dan melarat. Islam sekadar menjadi topeng luaran mereka. Permainan politik yang tiada berkesudahan.

“Biarlah….ada aku kesah?”


2009

Tahun 2009 membawa saya mengimbau peristiwa itu sekali lagi. Peristiwa yang bagaimana? Gembira? Sedih? Marah? Duka? Ntah…saya rasa semua perasaan bercampur-campur masa tu. Ada gembira, suka, sedih, penat…semua ada.

“Adakah manusia itu mengira, bahawa Kami akan membiarkan sahaja mereka berkata : Kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji oleh Allah swt.”

Bermulanya episode pentarbiyahan saya yang sebenar bila diri ini dimaklumkan bahawa keluarga ditimpa musibah. Saya masih ingat lagi Kak Dayah sebagai penyampai berita. Ketika itu jiwa dan hati saya bergelut antara percaya atau tak. Ditambah lagi dengan kepenatan fizikal dan mental ketika itu yang membuatkan saya hanya berserah sahaja. Tangisan dihamburkan tanda fitrah manusia apabila ditimpa ujian yang tidak dijangka. Allah…


TIADA PERASAAN, HATI KERAS

Saya mengambil masa untuk redakan perasaan sedih dan hiba petang itu selepas menerima berita daripada Kak Dayah. Dalam masa yang sama hati rasa bersyukur sebab tiada kehilangan jiwa berlaku pada keluarga. Sejurus itu, saya kesatkan mata yang merah dan kembali melakukan aktiviti bersama sahabat-sahabat.

“Kenapa, kenapa, kenapa?”

Persoalan itu diajukan bertalu-talu dalam hati. Namun, tiada bertemu jawapan. Tangisan saya diredakan dengan ombak yang datang dan pergi silih berganti. Sangat indah masa tu. Muhasabah saya bertambah indah dengan suasana pantai itu.  

Sahabat-sahabat memandang saya dengan pandangan simpati. Mereka ada bersama-sama saya tatkala berita ujian itu disampaikan. Satu persatu wajah mereka saya cuba ingati. Jujur, masa itu saya tidak punya perasaan. Hati belum cukup lembut untuk menzahirkan perasaan kepada mereka. Apabila diminta menyampaikan dan berkongsi ketika sesi tazkirah saya berkeras untuk mendiamkan diri dan beralasan untuk tidak berkata apa-apa.   

Allah mengirimkan ujian tatkala diri ini ditarbiyyah bertemankan pantai dan ombak. Allahuakbar!


HARI INI

Saya masih mengkoreksi diri. Barangkali saya menemukan jawapan itu hari ini. Hampir setiap hari bermuhasabah. Setiap manusia akan diuji oleh Allah. Ujian saya dan mereka mungkin berbeza. Pengalaman yang lepas menjadikan saya lebih aware bahawa saya perlukan Allah untuk memberi petunjuk dan membimbing saya dalam setiap perkara dan perbuatan yang saya lakukan. Ya! Mardhatillah adalah matlamat utama saya.

Tiadalah terjadi sesuatu bencana itu melainkan dengan kehendak Allah, dan siapa yang percaya kepada Allah nescaya dipimpin Allah hatinya” (Surah at-Taghabun: 11)

Kita tahu ujian itu adalah salah satu petanda bahawa Allah sayangkan kita. Allah berikan kita ujian supaya kita lebih beringat dan kembali mentaatiNya. Ujian juga adalah salah satu bentuk pentarbiyyahan diri. Sentuhan Tarbiyyah itu sendiri bisa menjadikan kita lebih kuat dalam mengharungi liku-liku hidup dalam keadaan masyarakat yang pelbagai. Bila diuji dengan kepayahan hidup, ukhwah dengan sahabat-sahabat, keluarga, kerja yang menimbun, masyarakat yang seakan tidak memahami, pemimpin yang zalim, gerak kerja yang banyak…seharusnya ujian-ujian itu tidak menjadikan kita lelah.

Allah s.w.t berfirman “Orang-orang yang beriman itu akan menjadi tenteram hati mereka. Ingatlah dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenteram” (Surah ar-Rad: 28)

“Tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal.” (Surah al-Taubah: 54)

AKHIR : DUNIA TANPA PENGAWASAN

Barangkali kita fikirkan bahawa kita bebas melakukan apa sahaja 24 jam tanpa ada makhluk yang melihat dan menegur sekalipun kita bersembunyi dan mengasingkan diri daripada orang ramai.

Barangkali juga kita fikir bahawa kita tak perlu ambil peduli hal masyarakat sebab tiada siapa yang akan ambil pusing dan memberi kita galakan.

Masa yang kita peruntukkan setiap hari lebih kepada masa untuk diri sendiri. Adakah kita fikir bahawa hidup ini hanya untuk hidup semata-mata?

Siapa yang mengawasi kita 24 jam?

Allah is watching you
Allah is witnessing you
Allah is with you

Muhasabah saya ini perlu berterusan. Bila saya ditanya apakah yang telah saya sumbangkan untuk Islam? Saya tiada jawapan yang betul-betul meyakinkan saya. 

Maka, muhasabah saya itu perlu disertakan dengan mujahadah. Terima kasih Allah untuk sentuhan itu.


Syam_Suri

No comments:

Post a Comment