Sunday, April 17, 2011

Muslimat dan Perjuangan

Sekitar minggu lepas saya ada memberitahu seorang sahabat berkenaan hidup perjuangan seorang muslimat. Saya kira saya perlu membuat refleksi balik pada diri saya. Sebelum melangkah ke hadapan, diri sendiri perlu buat persediaan. 

Takut-takut nanti, pancit di tengah jalan tatkala roda kehidupan berpusing bebas tanpa kawalan. Muslimat dan perjuangan? Perjuangan apakah yang hendak diperjuangkan?

Perjuangan sering dikaitkan dengan semangat. Ia tidak boleh lari. Tanpa semangat, perjuangan akan jadi lesu. Semangat dan perjuangan juga tidak akan lengkap jika tanpa adanya kefahaman yang mendalam akan hakikat perjuangan itu sendiri. 

Hakikat bahawa perjuangan mendaulatkan Islam, menegakkan Islam di tengah-tengah kejahilan manusia, amar ma’ruf nahi mungkar akan sering berputar dalam diari kehidupan seorang muslim.

Banyak blog-blog yang mengupas berkenaan muslimah + perjuangan ini. Kupasan yang sangat baik untuk diterima oleh para pembaca atau blog walking yang dahagakan pengisian. Dari segi konteksnya juga sangat meluas. Antara blog yang menjadi tarikan:



Rumah itu

Rumah itu mengingatkan diri saya sesuatu. Pengalaman yang tidak akan dilupakan sepanjang hayat. Pengalaman yang mengajar seribu satu perkara baru dalam episode kehidupan untuk menempuh hidup bermasyarakat. Pengalaman yang pertama bagi saya dan bakal menjadi bualan suatu masa nanti.

Syukran jazilan kepada sahabat-sahabat yang sudi memberi peluang dan meluangkan masa bersama-sama terlibat dalam perjuangan sebenar walau diri masih lagi jauh ketinggalan berbanding yang lain. 

Ukhti Anjang sebagai ketua rombongan, Ukhti Ayong, Ukhti Acik dan Ukhti Nadh yang disayangi. Kalian semua adalah muslimat power yang bakal menjadi tulang belakang dan sayap kanan perjuangan Islam suatu masa nanti. InsyaAllah. Allahuakbar!

Keberangkatan muslimat-muslimat ke TENANG sangat menyenangkan. Petunjuk kami hanyalah tawakal kepada Allah agar dipermudahkan urusan sepanjang perjalanan kami ke sana. Ambil masa lebih kurang 2 jam lebih untuk sampai ke destinasi juga ditemani E-tos yang banyak berjasa. 

Perkenalan dengan makcik-makcik di sana juga sangat membahagiakan jiwa. Pelbagai gelagat dan gaya mereka untuk berkenalan dengan kami selaku anak-anak muda. 2 hari yang sangat bermakna. Tetap mekar di dalam kotak memori untuk dijadikan panduan sendiri.

Semangat

Maralah beramal wahai muslimat sekalian. Kalimat dibawah bukan sekadar kalimat untuk dihafaz tetapi perlu dilaksanakan. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman;
"Dan katakanlah (wahai Muhammad): "Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan." (Surah At-Taubah: ayat 105)
"Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul dan lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa." (Surah Al-An'am: ayat 153)

Kesimpulan

Tiada kesimpulan yang dapat saya simpulkan melainkan pengharapan kepada Allah agar ditetapkan iman, sentiasa ikhlas dan tetap istiqamah dalam perjuangan Islam ini. Kata-kata daripada sahabat-sahabat memberikan saya peluang untuk terus memotivasikan diri sendiri:
Buatmu mujahidah di medan juang, teruskan perjuangan biarpun kepenatan, biarkan aroma mawar mewangi disegenap penjuru dakwahmu. Doaku moga dirimu istiqamah dengan cita-cita murni.
Buat sahabat seperjuangan, ku bangga melihatmu derita dan kepayahan dalam perjuangan dari melihatmu gembira dalam kelalaian, ku bangga melihat tangisan dan rintihanmu kerana pengorbanan dari melihat tawamu dalam pengkhianatan, ku bangga andai dikau syahid, dari hidup tanpa Islam. Dan aku bangga kau memilih gerak kerja Islam sebagai teman setia hidupmu. Moga ALLAH memberkati penat lelah kamu sahabat. Kita mulia kerana Islam. Hidup kita untuk Islam. Dan pengharapan kita hanya pada ALLAH. Bukan hambaNYA.
 Mari, berlumba-lumba menuju kebaikan! Kepada semua, Allah telah janjikan syurga.


 Nota Suri: 
Saya mula merindui setiap waktu berada dalam perjuangan di alam kampus. Segala penat lelah, letih, pengorbanan yang dilakukan mudah-mudahan menjadi sebab utama untuk saya terus berdiri tegak menempuh cabaran dan dugaan di luar kampus nanti.


  

No comments:

Post a Comment