Monday, April 11, 2011

Bicara Hati 5 : Aku perlu Menangis


Mata berkaca-kaca
Bendalir putih jernih seakan-akan mahu keluar
Perlahan-lahan ia membebaskan diri...
Sudah lama tidak merasai kesuaman dan kehangatannya
Ia selalu menuruni ke bawah saat pemiliknya kesedihan dan dalam kesempitan
Kemudian, laju tanpa henti..
Bagai arus deras
Yang mengalir dari puncak bukit tertinggi
Bezanya, arus itu sentiasa berterus-terusan
Mengalir tanpa henti tiap detik, saat dan ketika

Aku perlu menangis sentiasa
Menangis bukan tanda lemah
Menangis bukan hal duniawi semata
Menangis bukan sengaja suka-suka
Bukan juga untuk menunjuk..

Aku tidak lemah
Yang melemahkanku selalu menguatkan aku
Agar menjadi hebat
Hebat dalam melahirkan rasa sayang dan kesyukuran
Pada Ya Kholiq Ya Maha Pencipta
Dan juga hebat dalam menzahirkan rasa kekaguman
Pada setiap hikmah penciptaan makhlukNYA
Aku percaya..aku tidak keseorangan
DIA..pendampingku, sahabat baikku, sentiasa ada dalam hatiku

Dalam membentuk diri menjadi individu muslim, keluarga muslim seterusnya masyarakat muslim
Aku gentar, rasa takut membayangi fikiran
Masih terdapat lubang-lubang dalam diri
Samaada kecil mahupun besar dek kerana dosa-dosa yang lalu
Juga masih terdapat saki-baki sisa berkarat yang jarang digilap
Hati,
Bahagian utama. Dialah raja dalam tubuh
Penggerak utama pemikiran otak dan pencetus tindakan susulan
Bisa melahirkan lintasan hati yang pelbagai
Bagaimana mungkin hati itu dapat tenteram dan tenang
Jika sekecil segenggam penumbuk itu tidak dibersihkan
Dengan siraman TAQWA, alunan ZIKRULLAH
Juga ayat-ayat bacaan AL-QURAN
Bagaimana mungkin juga hati itu dapat tenteram dan tenang
Jika sibuk menjadi alasan, kemalasan berganda-ganda
Topik duniawi menjadi bualan seharian
Ukhwahfillah ntah ke mana, sekadar retorik semata-mata

Menjadi luar biasa dari biasa
Bukan sesuatu yang mudah, perlukan kekuatan,
Semangat dan keazaman yang tinggi
Tabiat mampu mengubah segala, ubah tabiat, jiwa akan selamat
Yakinlah wahai diri, setiap manusia itu dicipta bukan sia-sia tujuannya
Ada matlamat, ada visi dan misi
Menjadi khalifah di atas bumi ini

Aku perlu menangis
Memikirkan setiap masa yang diluangkan, belanja yang disalurkan
Dan tenaga yang dibazirkan ntah ke mana..
Lesap begitu sahaja..berapa tahun umur aku sekarang?
Tanpa pembaharuan IMAN, tanpa penghayatan ISLAM, tanpa penilaian IHSAN
Bagaimana mungkin aku dapat teruskan kehidupan ini
Mengisi kekosongan jiwa, yang menjadi fitrah semua makhluk

Wahai sepasang mata,
Menangislah sentiasa…
Menangis membersihkan hati
Menangis menghilangkan resah yang menyelubungi dalam diri
Menangis menyesali perbuatan, tindakan, tutur kata, pemikiran
Dan dosa-dosa lampau
Juga menangislah andai dirimu tidak mempu menangis
Menghadirkan rasa sebak dan sedih
Kerana kamu tidak tahu penghujung kisah hidupmu

Ya Allah Ya Sami’
Diriku hanyalah hamba kepadaMU
Hanya KAU yang mampu menggerakkan hati ini
Agendakan dan aturkanlah hidupku Ya Allah Ya Baari’
Agar aku dapat merasai ketenangan, kebahagiaan
Rasa kasih-sayangMU kepada hambaMU ini
Sesungguhnya, hanya keredhaanMU yang ku cari
Hanya cintaMU yang ku impi


Suriey
5 am
11/4/11   

No comments:

Post a Comment