Tuesday, July 19, 2011

Kerana Aku, Dia dan Mereka…


Alhamdulillah…Segala pujian terhadap Allah Tuhan yang Menciptakan Langit dan Bumi serta hidupan di dalamnya.
Baru-baru ini alumni persatuan kampus lama saya dulu telah mengadakan satu pertemuan. Pertemuan bulanan yang mewajibkan semua alumni bagi zon tengah menghadirkan diri bagi mendengar pengisian, merancang program-program berkaitan, berkongsi pengalaman masing-masing dalam kerjaya mahupun rumahtangga, mendengar amanat daripada pimpinan alumni serta lain-lain hal. Setakat ini baru dua pertemuan yang berjaya dibuat sejak saya menamatkan pengajian di kampus (saya telah pun sah bergelar alumni kampus). Dan alhamdulillah, bagi kedua-dua perjumpaan itu saya tidak miss walau sekali pun. ^^
Terkilan rasa hati sebenarnya bila tak dapat dengar pengisian yang selalu menjadi agenda awal pertemuan disebabkan saya datang lambat (sebelum datang terpaksa bersesak-sesak dalam ktm). Namun, saya tetap bersyukur kerana Allah masih mengagendakan diri ini untuk berjumpa ikhwah dan akhawat yang hadir pada waktu itu.
Diringkaskan cerita, sewaktu saya diminta untuk bercerita mengenai perkembangan diri dan sumbangan yang telah dibuat sepanjang tempoh masa yang Allah berikan ini, saya jadi tak keruan. “Apa aku nak cerita…takde apa-apa perkembangan sangat pun. Ishhh, seganlah nak cerita sebab cerita saya ni biasa saje..tak sehebat sahabat-sahabat yang lain”. Begitu sekali mentaliti saya ketika itu.     
Saya sendiri tak ingat setiap butir-butir kata yang keluar dari mulut saya ketika itu. Tak tersusun macam dalam text. Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya juga mengeluarkan perkataan “SERONOK”. Apa yang “SERONOK”? Seronok dengan kehidupan yang saya lalui sekarang ni. Rasa bahagia….
KEHIDUPAN INI TIDAK MENJANJIKAN KEBAHAGIAN SEPANJANG MASA, KADANGKALA MANUSIA DIASAK DENGAN PELBAGAI DUGAAN DAN UJIAN. SEKIRANYA LEMAH, KITA AKAN TERUS HANYUT MENGIKUT KATA HATI DAN TIDAK BERUSAHA MENCARI PENYELESAIAN UNTUK MENYELAMATKAN DIRI DAN KEADAAN…KEHIDUPAN ITU ADALAH SUATU NIKMAT BAGI ORANG YANG MENGHARGAI DAN MENYEDARINYA. ..::I LOVE ISLAM::..
Kerana Aku, Dia dan Mereka
“Aku” mewakili diri saya sendiri. Individu yang belum cukup sempurna lagi. Mempunyai banyak kelemahan. Masih belum mempunyai pekerjaan tetap lagi tetapi berasa sangat bahagia dan seronok dengan kerja “sementara” ini bersama-sama dengan “The Tiny Little Caliphs”. Belajar ilmu psikologi kanak-kanak yang memerlukan banyak kesabaran dan lain-lain perasaan berjaya membuka pintu hati ini untuk terus menerima kehadiran mereka dalam kehidupan saya seharian. Awal-awal saya tolak ke tepi perasaan-perasaan negatif yang hadir.   
“Dia” mewakili sahabat-sahabat seperjuangan. Kebanyakannya sudah mempunyai pekerjaan. Sebahagian lagi mungkin dalam proses untuk sambung belajar lagi. Ada yang telah bergelar engineer, research assistant, suri rumah dan sebagainya. Alhamdulillah, saya tumpang rasa gembira dengan kejayaan sahabat-sahabat menjalani kehidupan yang sementara ini.
“Kehidupan dunia dijadikan indah dalam pandangan orang-orang kafir, dan mereka memandang hina orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertakwa itu lebih mulia daripada mereka di hari kiamat. Dan Allah memberi rezeki kepada orang-orang yang dikehendaki-Nya tanpa batas.” (Al-Baqarah: 212)
“Allah meluaskan rezeki dan menyempitkannya bagi siapa yang Dia kehendaki. Mereka bergembira dengan kehidupan di dunia, padahal kehidupan dunia itu (dibanding dengan) kehidupan akhirat, hanyalah kesenangan (yang sedikit).” (Ar Rad: 26)
Dan “Mereka” mewakili persekitaran yang saya alami sekarang ini. Manusia berubah mengikut persekitaran/suasana atau persekitaran/suasana berubah mengikut manusia??. Mana satu betul? Sebab itu wujudnya term minda positif. Minda positif ini sangat-sangat baik. Apa sahaja yang berlaku terhadapnya atau sekitarnya akan dianggap positif. Menjadikan suatu ujian yang dihadapi sebagai hiburan dalam kehidupan juga merupakan salah satu corak minda positif. Maksudnya kita perlu merasakan bahawa apa yang berlaku sebenarnya adalah ketentuan dan datangnya daripada DIA. Jika sentiasa berbaik sangka pada-Nya tentu kita dapat menjalani kehidupan ini dengan mudah dan tenang. InsyaAllah.
Kerana Aku, Dia dan Mereka inilah saya belajar banyak perkara. Perlu melihat kepada suatu: Rasa BERSYUKUR. Ya, saya perlu BERSYUKUR!
Ya Allah, peliharalah kami dari fitnah dunia…
“Sesungguhnya penolongmu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang melaksanakan solat dan menunaikan zakat, seraya tunduk (kepada Allah). Dan barangsiapa yang menjadikan Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman sebagai penolongnya, maka sungguh, pengikut (agama) Allah itulah yang menang.”                              (Al- Maidah: 55 - 56)

No comments:

Post a Comment