Thursday, July 18, 2013

Tazkirah Ramadhan: Kisah Wanita Ahli Neraka



Bulan Ramadhan adalah bulan yang mulia, indah dan dipenuhi dengan hari-hari penghayatan bagi insan yang ikhlas mencari redha Allah. Dalam bulan Ramadhan, kita dapat melengkapkan hampir semua rukun-rukun dalam Islam. Rukun Islam:

1. Mengucap dua kalimah syahadah.
2. Menunaikan solat lima waktu sehari semalam.
3. Berpuasa di bulan Ramadhan.
4. Mengeluarkan zakat.
5. Mengerjakan haji bagi yang berkuasa/mampu.

Hari ini genap lapan hari umat Islam menunaikan salah satu rukun Islam yang wajib: PUASA.


Rasulullah saw bersabda, Allah berfirman,”Setiap amalan anak Adam ialah untuk dirinya kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah untukKu dan Akulah yang akan membalasnya, dan sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau al-misk (kasturi)” Hadith Riwayat Bukhari.

Dugaan dan ujian seringkali melanda setiap umat Islam dalam bulan ini. Dalam keadaan terpaksa menahan lapar dan dahaga, simptom-simptom ini bakal mengganggu amalan kita di bulan mulia ini: letih, tiada mood, nak tidur je sepanjang masa, pemarah, bertangguh buat kerja, tidak produktif, masa banyak dihabiskan dengan perbuatan yang tidak beri manfaat dan sebagainya.

“Diantara tanda berpalingnya Allah SWT dari seorang hamba adalah Allah menjadikan kesibukannya pada hal yang tidak bermanfaat baginya.” Imam Hassan al-Basri

Kunci bagi kita melakukan setiap amalan dengan ikhlas adalah SABAR. 3 Kategori sabar:

Kategori #1: Sabar untuk melakukan ketaatan.
Kategori #2: Sabar untuk meninggalkan maksiat.
Kategori #3: Sabar di atas ujian Allah yang menyakitkan

Ketiga-tiga kategori sabar ini terdapat dalam bulan Ramadhan. Pertama, sabar untuk melakukan ketaatan bila kita digalakkan dan disarankan untuk perbanyakkan amalan ibadah seperti solat terawih berjemaah di masjid, bangun malam bertahajjud, mengaji Quran serta bertadarus, sedekah jariah, berbuat baik pada keluarga dan jiran tetangga, mempermudahkan urusan orang dan sebagainya. Kedua, sabar untuk meninggalkan maksiat dan perkara-perkara lagha yang tidak mendatangkan dan tidak pula meningkatkan prestasi ibadah. Dan yang ketiga, sabar di atas ujian Allah yang menyakitkan adalah lapar, haus dan lemahnya tubuh akibat berpuasa.

Sesungguhnya terdapat hikmah besar di sebalik kesabaran yang kita pupuk di bulan Ramadhan ini jika kita benar-benar ikhlas dan menghayati kebaikan-kebaikan yang ada padanya.

Allah berfirman; “Sesungguhnya (Dia) memberi ganjaran kepada orang-orang yang sabar dengan ganjaran yang tidak terhitung” (Surah Az-Zumar: 10)

 Kisah Wanita Ahli Neraka: Suka Mengumpat dan Mengata Orang

Tazkirah ringkas ini telah disampaikan oleh seorang hamba Allah pada selang masa ketika solat terawih semalam.

Diceritakan pada zaman Rasulullah, terdapat seorang wanita yang taat beribadah, tidak pernah meninggalkan puasa dan sering bangun malam untuk berqiamullail. Sampai waktunya, wanita itu meninggal dan jenazahnya diuruskan oleh para sahabat. Sepanjang urusan tesebut, sahabat berkata-kata sesama mereka “Wanita ini bakal masuk syurga kerana amalan soleh yang telah dilakukannya di sepanjang riwayat hidupnya.”

Lalu datang Rasulullah mengatakan: “Wanita ini adalah ahli neraka”

Sahabat-sahabat berasa pelik dan bertanya kembali pada Rasulullah: “Mengapa begitu wahai Rasulullah? Sedangkan wanita ini di waktu siangnya berpuasa dan di waktu malamnya rajin bangun malam bertahajjud”

Rasulullah menjawab: “Kerana wanita ini tidak menjaga lidahnya, mengadu domba, mengata dan mengumpat”

Kesimpulan daripada kisah tersebut adalah amalan yang kecil dan kadang-kadang kita tak sedar pun kita sedang melakukan tersebut seperti mengata orang, mengumpat, mengeji, mengadu domba dan sebagainya boleh menghapuskan amalan-amalan soleh yang kita lakukan, contoh puasa dan solat malam.

Selalu kita sering terlepas pandang dan kadangkala tak sedar bahayanya tidak menjaga lidah ini. Mengumpat bukan sekadar terzahir di mulut malah boleh juga dengan hati. 

Maka, istighfar selalu memohon perlindungan daripada Allah agar dijauhkan daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan amalan lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan yang mulia ini.



No comments:

Post a Comment