Bulatan Gembira
5.30 petang
Seperti biasa, bulatan gembira dihadiri oleh beberapa orang terdiri daripada sang
pencinta ilmu yang tidak jemu dengan pengisian dan perkongsian ilmu bersama.
Semoga Allah merahmati dan meredhai mereka semua yang saling berkumpul,
bertanya khabar dan berbalas senyuman manis semata-mata keranaNya.
Giliran penyampai tazkirah pada petang itu diberi kepada
Insyirah. Sebelum memulakan baris-baris kata yang ingin diucapkan, Insyirah
memandang satu-persatu sahabat-sahabat dan naqibah yang disayangi lillahitaala.
Senyuman dibibir dilukiskan semanis yang mungkin. Mungkin Insyirah ingin
meredakan tanda-tanda gemuruh dan gementar terutama di hadapan naqibah yang
ilmu dan pengalamannya sangat luas baik dari segi akademik, isu semasa, sahsiah
mahupun bidang agama.
“Sesungguhnya hati manusia perlu diisi dengan dua perkara
iaitu iman dan kasih-sayang. Orang yang kurang iman hatinya akan mudah runsing
pada perkara keduniaan dan orang yang hatinya kurang kasih-sayang akan tumbuh
kebencian. Orang yang hatinya ada kebencian akan mudah membenci orang lain”
Baris-baris kata diatas diambil secara random ketika Insyirah membaca tulisan yang
terkandung dalam blog blogger Islamik di alam maya.
Kata-kata yang sangat menarik dan perlu dihayati oleh
semua. Hati setiap manusia sangat berharga dan tak ternilai dan sebab itu ianya
perlu dijaga sebaiknya oleh pemilik hati kerana hati sangat memberi pengaruh
pada tingkahlaku individu tersebut dalaman dan luaran. Hati yang baik
menghasilkan akhlak yang baik manakala hati yang buruk akan merosakkan akhlak
dan memberi gambaran yang kurang elok kepada persekitaran.
Hati manusia jika tidak diisi dengan iman maka hal-hal
keduniaan akan diberi keutamaan. Mereka ini tidak akan terlepas daripada melakukan
perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah dan kesan pada diri dan
sekeliling. Antaranya bercakap kosong, berhibur dengan hiburan melalaikan,
bertandang ke rumah orang tanpa niat ziarah dan tiada kepentingan serta suka
mengambil tahu perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan dirinya (mengumpat/bergosip).
Iman sebenarnya merangkumi semua. Pentingnya kedudukan iman dalam hati kerana daripada iman yang tinggi akan terhasillah kasih sayang yang tak ternilai harganya.
Jaga Hati, Syurga
Menanti
Seorang sahabat telah terjamin syurga kerana beliau
memiliki kekuatan dan kemuliaan hati iaitu hati yang tak pernah berhasad
dengki, buruk sangka dan rasa irihati.
Kurangkan percakapan-percakapan ini dalam kehidupan seharian:
“Susah nak bersangka baik. Setiap hari nampak je keburukan-keburukan
orang”
“Aku nak jadi macam dia. Banyak duit, kereta pun dah
ada..tak payah nak jalan kaki lagi”
“Uishh...ramainya kawan fb dia. Dia ni betul ke ada kawan
ramai macam tu. Nampak biasa je”
Sebaiknya kita perlu sentiasa bersyukur dengan nikmat dan kurniaan yang telah Allah berikan selama ini. Bersangka baik dengan Allah jika kita tidak selalu mendapat apa yang kita hajatkan kerana barangkali itu lebih baik bagi diri kita. Allah Maha Mengetahui.
Posisi Manusia
Insyirah mengingatkan kembali akan pengisian yang pernah
disampaikan oleh sahabat naqibahnya yang kebetulan turut serta dalam
bulatan gembira mereka tempoh hari mengenai perumpamaan manusia pada dunia dan
akhirat.
Setiap hari jasad dan ruh manusia akan bertarik-tarik tali
antara nak ke bumi atau ke langit. Jasad sentiasa menarik manusia ke bumi
manakala ruh sentiasa menarik manusia ke langit. Jika keterikatan jasad manusia
ke bumi longgar, maka keterikatan ruh manusia ke langit akan semakin tinggi.
Keterikatan yang tinggi tersebutlah yang akan menguatkan hubungan manusia
dengan Allah. Sebaliknya, jika keterikatan ke bumi tinggi, maka manusia
akan mudah terikat dengan hal-hal keduniaan yang penuh tipu daya.
Kesimpulan
Insyirah menutup tazkirahnya dengan beberapa kesimpulan.
1. Seimbangkan keterikatan jasad dan ruh kepada bumi dan
langit. Perlu diingat, bumi hanyalah tempat persinggahan sahaja manakala
akhirat adalah kekal abadi. Sibukkan diri dengan perkara yang berfaedah yang
membawa kita dekat dengan akhirat, agar kita tak disibukkan dengan dunia yang
menyebabkan kita sesat.
2. Kebaikan perlu dicari, keburukan datang sendiri. Jika
hati kita tidak disi dengan hal-hal kebaikan, ianya akan dipenuhi dengan
keburukan tanpa disedari meracuni diri dalam diam-diam.
3. Nak mengisi hati kita dengan kasih sayang, perlu
banyak memberi. “Barangsiapa yang tidak mengasihi, maka ia tak akan dikasihi”-HR
Bukhari dan Muslim.
Syam_Suri
No comments:
Post a Comment