Tinggal beberapa hari lagi Syawal akan melabuhkan dirinya
meninggalkan kita semua. Perginya ia akan kembali lagi tetapi kita tak dapat
jangka apakah kita akan bertemu dengannya semula? Wallahualam. Kita tidak tahu.
Itu urusan Allah. Kita hanya perlu teruskan agenda di dunia dengan melaksanakan
syariat yang telah ditetapkanNya dan menjauhi segala laranganNya. Al-Quran dan
as-Sunnah jadikan asas utama dalam memandu bahtera kehidupan alam dunia.
Alhamdulillah. Segala pujian hanya bagi Allah. Dalam
kenikmatan ganjaran puasa Ramadhan Allah beri lagi nikmat kepada hamba-hambaNya
yang beriman untuk menggandakan bekalan menuju akhirat iaitu puasa 6 hari pada
bulan Syawal.
Setiap yang kita dapat/terima/dengar adalah ilmu. Bila kita
beramal, kita perlu beramal dengan ilmu yang ada pada diri kita. Sesungguhnya amal
yang tiada ilmu adalah kosong.
Asas kepada amalan puasa enam
hari pada Bulan Syawwal ini ialah sabda Nabi s.a.w:
“Sesiapa yang berpuasa ramadhan, kemudian
dia susulinya dengan enam hari dari Bulan Syawwal, maka ia bagaikan puasa
sepanjang masa (tahun)” (Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah
dll).
Perkara-perkara yang perlu diberi
perhatian adalah:
-
Amalan berpuasa enam hari pada bulan Syawal
adalah amalan sunat. Bila mana kita mempunyai puasa qada’ (ganti), afdhal
mendahulukan qada’ puasa kita yang ditinggalkan, kemudian diikuti dengan puasa
sunat syawal. Ini kerana, qada’ puasa adalah perkara yang wajib sedangkan puasa
6 Syawal adalah sunat. Menurut kaedah usul (pokok/asas kepada sesuatu), perkara
wajib hendaklah di dahulukan berbanding perkara sunat.
-
Seseorang tidak disyariatkan berpuasa enam
secara terus menerus. Ini kerana tidak ada dalil yang jelas menunjukkan
perbuatan salafussoleh berpuasa secara terus menerus. Kita boleh samaada
pisahkan antara hari-hari tersebut, namun, ianya tidak bermakna kita tak boleh
buat secara begitu (terus-menerus). Pendapat Mazhab Hanafi dan Syafi’i:
Afdalnya berturut-turut selepas hariraya (lihat: Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunnah
1/380, Beirut: Dar al-Fikr).
-
Bagi persoalan samaada kita boleh berniat 2 kali
(maksudnya berniat puasa Qada’ Ramadhan sekali dengan puasa enam): Ada pendapat
mengatakan dibolehkan dan ada juga yang mengatakan sebaliknya. Persoalan ini
dikupas dengan lebih lanjut dalam blog Ust Zaharuddin (zaharuddin.net). Yang
penting, kita perlu niatkan semata-mata kerana Allah kerana dalam persoalan
ibadah kita tidak boleh berbuat sesuka hati dan rasa keraguan dalam diri.
-
Orang perempuan bolehlah mengganti puasa
Ramadhan dengan awal tanpa perlu bertangguh.
-
Jangan bermegah atau riya’ dengan amalan yang
kita lakukan dengan menghebah-hebahkan kepada sahabat-sahabat. Ditakuti, pahala
puasa yang kita lakukan itu hilang. “Innama
a’malu binniat”. Allah menjadi saksi kepada setiap amalan kita tanpa perlu
kita menunjukkannya pada umum.
Penutup
Peluang berpuasa pada bulan Syawal (bulan kemenangan) ini
seharusnya kita rebut kerana ganjaran bonus yang Allah berikan kepada setiap
hambaNya sangat lumayan. Dalam melaksanakan amalan tersebut kita juga perlu
ingat sentiasa untuk memohon keampunan dan keredhaanNya.
TaqabbalLah Minna wa Minkum
(semoga Allah menerima amalan kami dan kamu).
Rujukan
Minda Tajdid (Dr MAZA) :
Persoalan tentang puasa enam Syawal
Zaharuddin.net (Ust Zaharuddin) :
Puasa sunat Syawal, ganti & ziarah
No comments:
Post a Comment