Wednesday, July 11, 2012

Pengakhiran yang Tak Pasti


Astaghfirullahaladzhim Astaghfirullahaladzhim Astaghfirullahaladzhim Astaghfirullahaladzhim
Astaghfirullahaladzhim Astaghfirullahaladzhim Astaghfirullahaladzhim Astaghfirullahaladzhim
Astaghfirullahaladzhim Astaghfirullahaladzhim Astaghfirullahaladzhim Astaghfirullahaladzhim

Diriku mengeluh.

Mengeluh dengan pernyataan yang tiba-tiba berkocak dalam pemikiran.

“Ya Allah, kehidupan ini amat sukar. Amal ibadatku rasakan tak cukup untuk menampung setiap kelalaian yang aku buat setiap hari. Istiqamahku pada solat sunat semakin luruh. Aku tak mampu bangun malam untuk mengadu dan bermunajat padaMu. Puasa sunat yang kulakukan adalah semata-mata kerana keadaan yang memaksa tanpa ada penghayatan. Hubunganku dengan manusia semakin hari semakin pudar keakrabannya”


Alasanku: SIBUK! Aku hanya manusia biasa....

Allahurabbi....

Mungkin malaikat yang mencatit setiap amalan di kiri kananku sedang menggeleng-gelengkan kepala melihat keadaanku. Kasihan barangkali...

Aku sendiri tidak jujur pada diri.

Mana pergi ikrarku yang aku laungkan setiap hari?

“Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam...”

Sungguh...aku tidak jujur pada diri dan juga pada Tuhan.

Solat yang kulakukan adalah semata-mata gerakan dan sekadar melepaskan tanggungjawab. Itu sahaja. Tanpa ada penghayatan yang betul-betul khusyuk dan fokus dengan kebesaran dan keagunganNYA.

Mungkin itu hukuman ke atas tindakanku yang seringkali lalai dan sering terleka dengan kesibukan urusan dunia. Aku berhak menerima hukum.

Dan tengoklah sekarang...hati aku resah dan gelisah. Buat kerja tapi fikiran serba-salah. Kerjaku juga semakin tertangguh.

Wajahku semakin kelam. Jerawat dan jeragat semakin meliar. Aku sendiri malu bila menghadapkan wajah ke cermin. Malu pada Tuhan.

Semakin banyak rasa tak kena pada diri semakin aku mengerti...itu petanda yang Allah nak bagi sesuatu. Amaran!

Aku tahu aku sekarang berada dalam kondisi bahaya.

Kondisi dimana setiap amalan yang aku lakukan seakan-akan tidak membawa sebarang erti. Aku mempersoalkan kenapa Allah wujudkan kehidupan yang serba kekurangan ini. Lagi-lagi kehidupan ini cuma sementara.

Aku perlu bertindak! Bermula saat ini.

Setiap hari aku muhasabah. Semasa buat kerja aku muhasabah. Sebelum tidur aku muhasabah lagi. Selepas tidur muhasabah. Selepas berinteraksi dengan orang juga aku muhasabah.

Sebab aku tak mampu untuk berada dalam suasana yang serba tak kena ini lama-lama. Aku tahu syaitan laknatullah sentiasa memasang perangkap dan mencucuk-cucuk dadah berupa nafsu ke dalam diri. Aku tak mahu ketagihan dengan nikmat dunia.

Muhasabah semata-mata takkan ada maknanya jika tidak bermujahadah. Lawan dan tentang habis-habisan nafsu jahat yang ada dalam diri. Kuncinya: Zikrullah. Sentiasa ingat Allah bila keadaan malas menguasai dan bila terleka atau terlalai, jangan abaikan doa. Sesungguhnya doa itu senjata orang mukmin.

Dan sebenarnya bila aku melalui proses tarbiyyah itu sendiri aku dapat menguatkan semangat. Semangat untuk mencari redhaNYA.

Alhamdulillah.

Ya Allah...aku bersyukur Kau temukan aku dengan tarbiyyah itu. Sekurang-kurangnya bila aku lemah aku punya sahabat-sahabat yang dapat mengingatkan aku kepadaMu dan bila aku ‘lost’, aku dapat buat U-turn kembali.

 Proses tarbiyyah itu berterusan. Ya! Sepanjang hidup.

Bila aku ada anak, cucu, cicit aku masih perlu ditarbiyyah.

Semestinya, setiap daripada kita akan pergi menghadapNYA. Aku tidak terkecuali. Aku takut. Sangat takut. Malu dan sangat malu nak pertontonkan segala amalanku dihadapanNYA kelak.

Pengakhiranku tak pasti. Samaada husnul khotimah atau suul khotimah.

“Ya Allah, aku mohon kepadaMU...tetapkan imanku dalam menghadapi ujian-ujian dunia. Jadikan aku hamba yang mengalirkan airmata kerana takut azab dan siksaMu. Juga, jadikan aku hamba yang sentiasa bersyukur atas nikmat dan rahmat pemberian yang telah Engkau berikan selama ini”

Mari kita sama-sama muhasabah diri kita. Kita tak pasti samaada esok lusa kita ada lagi ke tak atas muka bumi ini.

Aku insan lemah.
Syam_Suri  

No comments:

Post a Comment