Wednesday, May 23, 2012

Realiti Kehidupan


Fikiran saya masih lagi menyimpan kemas satu cerita yang disampaikan oleh Dr Lisa dalam perkongsian Jumaat baru-baru ini. Cerita yang bila difikirkan terasa ada betulnya dan sangat tepat jika dibuat perbandingan dengan realiti manusia kini.

Manusia bila ditimpa kesusahan dan kesulitan tindakan refleksnya secara tidak langsung akan cuba membandingkan kesusahan/kesulitan yang dihadapinya dengan orang lain. Bila dirasakan kehidupan orang lain itu sangat jauh berbeza dengan dirinya, lalu manusia itu akan mengeluh dan membuat pelbagai andaian.


“Kenapa hidup aku tak sama dengan dia…”
“Alangkah bagus kalau dapat jadi seperti dia…”
“Kenapa hidup dia senang sedangkan hidup aku susah…”

Lalu membuat andaian/persepsi negatif…

“Tuhan itu adilkah?”

Cerita ini menjadi muhasabah bagi diri saya sendiri sebab ianya terkena pada batang hidung sendiri.

Kisah Seorang Petani & Pemilik Kereta Mercedez

Prof. Hamka dalam bukunya Tasawuf Moden menceritakan:

“Ada seorang petani yang telah penat bekerja, rehat di sebatang pokok di kawasan ladangnya di tepi jalan raya. Kemudian, sebuah kereta besar (Mercedes mungkin..) melintas melepasinya. Di dalam kereta tersebut terdapat seorang yang kelihatan seperti orang kaya yang duduk di belakang, dan di depannya dipandu oleh pemandunya. Maka berfikirlah si petani ini, “Alangkah indahnya kehidupanku andai aku dapat menjadi seperti orang kaya tersebut, kereta besar, rumah besar, pergi ke mana pun orang pandu, makanan pun disediakan.. alangkah indahnya..”

Namun, pada waktu yang sama juga, orang kaya yang berada di dalam kereta besar itu juga memandang kepada petani tersebut sambil berfikir, “Alangkah bahagianya hidupku sekiranya aku menjadi seperti petani tersebut, tiada hutang, kerja tak banyak, anak-anak menjadi, isteri menunggu di rumah.. Alangkah bahagianya..”

Versi cerita yang disampaikan Dr Lisa ada sedikit penambahan barangkali (rujukan cerita ini saya ambil daripada internet dan melalui Dr Lisa sendiri).

“Ada seorang petani yang telah penat bekerja, rehat di sebatang pokok di kawasan ladangnya di tepi jalan raya. Kemudian, sebuah kereta besar (Mercedes mungkin..) melintas melepasinya. Di dalam kereta tersebut terdapat seorang yang kelihatan seperti orang kaya yang duduk di belakang bersama seorang anak dan isterinya yang sangat cantik dan di depannya dipandu oleh pemandunya. Maka berfikirlah si petani ini, “Alangkah indahnya kehidupanku andai aku dapat menjadi seperti orang kaya tersebut, kereta besar, rumah besar, tanggungan anak tak ramai, isteri cantik, pergi ke mana pun orang pandu, makanan pun disediakan.. alangkah indahnya..”

Namun, pada waktu yang sama juga, orang kaya yang berada di dalam kereta besar itu juga memandang kepada petani tersebut sambil berfikir, “Alangkah bahagianya hidupku sekiranya aku menjadi seperti petani tersebut, tiada hutang, kerja tak banyak, anak-anak menjadi, isteri menunggu di rumah.. Alangkah bahagianya..”

Persepsi manusia sangat materialistic

Betul. Mahukan contoh?

Contoh 1: Kita ada dua tiket percuma untuk pergi ke konsert Amal di mana konsert itu terdapat penyanyi nasyid yang sangat kita gemari (Maher Zain). Kita ambil satu tiket itu dan baki tiket itu kita beri kepada salah seorang sahabat yang mempunyai kereta/kenderaan untuk pergi ke tapak konsert kerana dalam fikiran kita jika sahabat itu ada kereta bolehlah kita tumpang sekaki. Padahal ada seorang sahabat kita yang beria-ia nak pergi tapi disebabkan harga tiket itu yang mahal dia terpaksa melupakan hasratnya.

Contoh 2: Cerita ini pernah diceritakan dalam satu blog ketika saya berblogwalking. Sahabat itu hendak ke sebuah institusi pengajian di kawasannya untuk tujuan menyertai program bersama pelajar di sana. Dia ke sana menaiki kereta kawannya, kereta Mercedes. Semua melalui pondok pengawal, jadi mereka masuk dengan lancarnya. Pengawal yang menjaga mengangkat tangan seperti biasa tanpa perlu diberhentikan atau disoal jawab seperti orang luar yang lain. Sedangkan kawan dia yang datang dengan kereta buatan Malaysia, Proton telah ditahan dan ditanya tujuan kedatangan dan diminta keluar semula selepas tamat program.

Contoh 3: Jika diberi pilihan, kita suka membantu program dakwah yang sangat memerlukan pengorbanan kewangan, masa dan tenaga atau membantu program-program yang mana pihak pengurusan memberi elaun, imbuhan, penghargaan dan sebagainya?

Rasa Syukur Perlu Hadir

Ibn ‘Abbad al-Nifri berkata: Syukur terbahagi kepada tiga iaitu:
1.      Hati
2.      Lisan
3.      Anggota

Syukur hati adalah dengan mengetahui segala nikmat daripada Allah SWT dan syukur lisan adalah dengan memuji Allah SWT manakala syukur segala anggota adalah dengan melakukan amal soleh.

Ibarat yang paling lengkap dan padat tentang syukur seperti berikut: “Syukur itu mengetahui dengan hati, menyebut dengan lisan dan beramal dengan anggota”
(Rujukan: Syarah Al-Hikam Jilid 1: Siapa yang tidak mensyukuri nikmat Tuhan, m/s 433-438)

Hendak melahirkan rasa syukur sangat mudah. Syukur dengan nikmat jari yang menulis, mata yang membaca, telinga yang mendengar, hidung yang boleh menghidu bau kopi radix dari jiran sebelah juga syukur dengan nikmat udara yang membolehkan kita bernafas. Mudah bukan?

Kita tahu itu semua. Jika kita tanya semua orang yang ada adakah mereka bersyukur dengan nikmat-nikmat yang Allah berikan..rata-rata mereka akan menjawab:

“Ya, saya bersyukur. Alhamdulillah….”.

Tapi kenapa masih ada lagi yang melakukan korupsi, menjalankan perniagaan haram, menindas yang miskin, yang kaya bertambah kaya, banyak penipuan dalam urusniaga, pandang rendah orang bawahan, sombong, riya’, ujub dengan jawatan yang disandang dan sebagainya.

SEBAB manusia itu tidak pernah merasa cukup dengan apa yang ada.

Team Nisa Kuantan turun Padang

Alhamdulillah saya telah terpilih untuk turut sama membantu team Nisa’ Kuantan menziarah serta memberi sumbangan kepada golongan kurang berada. Tak keluar tenaga sangat pun tapi  saya begitu excited dan rasa bertuah kerana dapat turun padang bersama mereka.

Meninjau, memerhati dan melihat sendiri keadaan golongan yang miskin memberi saya peluang untuk membersihkan hati daripada kekotoran dan karat-karat yang melekat. Bukan semua orang berpeluang seperti saya.

Daripada aktiviti itu saya dapat berjumpa dengan seorang pakcik (asif, lupa namanya) yang hatinya cukup tabah, sabar dan cekal meneruskan kehidupan. Baru sahaja kehilangan seorang anak. Tangannya cacat (dia ada dua jari sahaja akibat kemalangan ketika mesin tebu). Pekerjaannya menjual pisang goreng. Masih mempunyai seorang isteri yang kabur penglihatannya dan beberapa orang anak lagi (Alhamdulillah, semuanya sudah besar dan ada kerja). Katanya nak dapatkan bantuan susah. Banyak kerenah daripada pihak atasan dan pelbagai masalah lagi.

Saya juga berpeluang berjumpa dengan Udin (OKU-orangnya dah berusia tetapi mentaliti keanak-anakan). Kata-katanya yang jujur membuatkan hati saya tersentuh. Kadang-kadang orang yang fizikal dan mental begitu dapat membuatkan kita banyak berfikir. Di akhir pertemuan dengan Udin, sempat dia berpesan kepada team Nisa’ yang hadir:

“Kakak-kakak baik jangan kawen. Kalau kawen kena tipu…” (lebih kurang begitulah dia menasihatkan kami agar jangan berkahwin sebabnya mungkin daripada pengalaman dia sendiri melihat ramai pasangan yang berkahwin tetapi tidak bahagia).  


Team Nisa' saling berpandangan sambil menahan diri daripada tergelak takut disalah tafsir oleh Udin termasuklah saya. ^_^. Kami meraikan pandangan Udin. Senyum lebar sampai ke pipi. huhu

Akhir : Penutup

Berjumpa, berkongsi dengan sahabat-sahabat, menyertai program-program terutama aktiviti-aktivi kemasyarakatan sentiasa memberikan saya semangat, harapan dan muhasabah baru.

Ø  Redha dan terima dengan rezeki yang Allah telah tetapkan. Berusaha mencari rezeki yang halal. Jangan bermalasan. Sedekah itu penting (dapat menambah rezeki. InsyaAllah).

Ø  Jika kita rasakan hidup kita ini susah/sukar…kita perlu ingat ada orang yang hidupnya mungkin lagi susah daripada kita. Jadi, perlu sentiasa bersangka baik dengan Allah. Mungkin Allah beri ujian kesempitan kepada kita kerana dengan cara itu hati kita lebih dekat denganNya.

Ø  Setiap perbuatan yang kita lakukan kita perlu sentiasa relatekan dengan Pencipta kita. Adakah Allah redha dengan setiap perbuatan dan tindakan yang kita buat? 

Ø  Stop whining and start exploring nikmat-nikmat dan kurniaan Allah!

Suatu keadaan yang kita anggap pelik tapi hakikatnya betul dan kita pun boleh jadi salah seorang daripadanya…“Orang mengejar dunia tetapi meninggalkan akhirat”



Syam_Suri

No comments:

Post a Comment